Monday, May 17, 2010

Nasib Si Anak

Tanpa Bapa
Hukuman adalah hanya ke atas penzina, tidak pada anak-anak yang mereka lahirkan. Hukuman yang dikenakan ke atas anak-anak mereka berupa istilah, seperti anak luar nikah, atau anak haram, yang lazim digunakan. Sebaliknya pula, kata-kata ini tidak seharusnya menjadi sebutan orang-orang Islam, kerana ia tidak disebut, atau tidak diajar oleh Allah di dalam kitab-Nya, al-Qur'an. Justeru, anak-anak yang tidak berdosa itu sewajarnyalah tidak dizalimi dengan cercaan seperti ini. Kezaliman pada anak-anak ini ditambah lagi apabila wujud undang-undang yang menyuruh mengosongkan tempat bagi nama bapa-bapa mereka (dan butiran lain mengenainya) pada sijil pengakuan kelahiran mereka, atau surat beranak. Walhal, surat beranak adalah suatu dokumen yang merekodkan kelahiran bayi, dan mereka pula, seperti bayi-bayi lain, tidak seperti Nabi Isa yang dilahir tanpa bapa! Dengan tidak mencatat nama bapa, dan butiran lain mengenainya, pada surat beranak anaknya, kelihatan pula seperti dapat melepaskan kaum lelaki (yang sama-sama terlibat dalam kejahatan) daripada tanggungjawab mereka, dan selanjutnya memungkinkan mereka untuk berterusan dalam dosa zina dengan perempuan-perempuan lain.

Anak angkat
Bagi kanak-kanak, menurut al-Qur’an, seharusnya diketahui siapa bapa-bapa mereka, kerana sekiranya mereka dijadikan anak-anak angkat, maka mereka hendaklah dibinkan menurut nama bapa-bapa mereka yang sebenar. Firman-Nya, "Dan tidak juga Dia membuatkan anak-anak angkat kamu sebenarnya anak-anak kamu ... Panggillah mereka mengikut bapa-bapa mereka yang sebenar; itu lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui siapa bapa-bapa mereka, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama, dan peliharaan" (33:4-5).

Hukum
Malang menimpa lagi pada kanak-kanak yang lahir daripada perzinaan, kerana wujud pula dalam ajaran "Islam" suatu hukum yang menetapkan mereka (yang perempuan) boleh membatalkan air sembahyang bapa-bapa mereka dengan hanya menyentuh kulit mereka. Kedudukan mereka sama dengan perempuan lain yang halal berkahwin dengan bapa mereka.

No comments: