Monday, May 17, 2010

Kesopanan

Perzinaan tidak berlaku sekiranya kesopanan dijagai, dan Allah ditakuti. Kesopanan bagi lelaki dan perempuan semasa mereka berinteraksi sebagai sahabat telah disebut, iaitu mereka diperintah supaya mengawal pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Akan tetapi, bagi kaum wanita (kerana kewanitaannya) ditambah lagi dan tambahannya adalah seperti yang tersurat di dalam sebuah ayat yang panjang berbunyi,

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya;

Dan hendaklah mereka meletakkan penudung (mantel) mereka pada dada mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau perempuan mereka, atau apa yang tangan kanan mereka memiliki (hamba daripada rampasan perang),

Atau lelaki yang melayan mereka yang tanpa mempunyai keinginan seks, atau kanak-kanak kecil yang belum mengerti aurat (bahagian-bahagian sulit) perempuan" (24:31).

Ayat ini menggesa kaum wanita supaya tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang-orang yang rapat seperti yang telah disebut. Kata perhiasan selalu dituju kepada barang-barang kemas. Akan tetapi perhiasan perempuan di sini bermaksud bahagian anggotanya yang di dada, yang digesa supaya ditutup dengan penudung. Penudung, atau kata Arabnya di situ, khumur, adalah bukan tudung kepala perempuan. Dalam bahasa Inggeris ia adalah veil yang juga tidak bermaksud tudung kepala perempuan. Lazimnya tudung kepala perempuan dikaitkan dengan jilbab (33:59), juga diterjemah kepada 'penudung', yang bermaksud "pakaian luar; gaun panjang yang menutupi seluruh badan, atau mantel yang menutupi leher dan payudara" [The Holy Qur'an, Abdullah Yusuf Ali (1946), halaman 1126, nota kaki 3765]. Ia bukan tudung kepala.

Maka, pakaian wanita haruslah labuh dan menutup bahagian dada mereka. Atau dada ditutup dengan sehelai kain lain yang dipanggil khumur.

(Tudung kepada yang kini dipakai oleh kaum wanita adalah 'mandil' dalam bahasa Arab. Ia bermaksud kerchief; handkerchief; head kerchief, dalam bahasa Inggeris. Tetapi ia tidak terdapat di dalam al-Qur'an.)

No comments: