Monday, May 17, 2010

Izin, Akad, Hadiah, Muafakat

Izin

Terdahulu sekali dalam perkahwinan ialah persetujuan daripada pihak diri perempuan itu sendiri. Allah jelas apabila menetapkan ini dengan firman-Nya yang berbunyi, "tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan-perempuan dengan paksa" (4:19).

Perkahwinan juga dilangsungkan dengan izin keluarga perempuan. Ini diisyaratkan Allah apabila Dia menentukan iaitu, bagi perempuan yang berstatus hamba pun, sekiranya hendak dikahwini, adalah dengan izin keluarganya. Firman-Nya, "Maka kahwinilah mereka (yang tangan kanan kamu memiliki) dengan izin keluarga mereka" (4:25).

Akad

Izin daripada keluarga perempuan dilafaz seperti pada akad nikah. Sebagai contoh akad daripada al-Qur'an ialah lafaz bapa mertua Nabi Musa tatkala dia menyerahkan anaknya kepadanya (Musa) untuk dikahwinkan, berbunyi "Aku menghendaki untuk mengahwinkan kamu dengan seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan kamu mengambil upah daripada aku selama lapan tahun" (28:27).

Turut disebut di dalam lafaznya ialah mas kahwin, yang berupa perkhidmatan Nabi Musa kepadanya dalam tempoh masa yang ditentukan. Mas kahwin yang begini rupa adalah kerana Nabi Musa pada ketika itu seorang fakir.

Hadiah

Perempuan yang dikahwini diberi hadiah, atau mas kahwin, atau upah (menurut kata al-Qur’an), atau seperti kata yang selalu disebut orang Melayu, iaitu hantaran.

Hantaran adalah suatu ketentuan menurut hukum Allah (4:24), dan diberi kepada semua perempuan yang dikahwini, termasuk kaum hamba (4:25).

Mas kahwin adalah sesuatu hadiah yang rela.
Firman-Nya, "Dan berilah perempuan-perempuan mas kahwin mereka sebagai satu hadiah yang rela, tetapi jika mereka, dengan suka hati, menawarkan kepada kamu sesuatu daripadanya, maka makanlah ia dengan selera yang sihat" (4:4).

Muafakat

Keharmonian hidup sepasang suami-isteri adalah dengan adanya muafakat. Mereka berpakat dengan baik, seperti dalam urusan keluarga. Allah menunjukkan suatu muafakat dalam rumah tangga antara suami dan isteri dengan ayat berbunyi,

"Para ibu akan menyusukan anak-anak mereka dua tahun genap, bagi orang yang menghendaki untuk menyempurnakan penyusuan. Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik ....

Tetapi jika keduanya menghendaki, dengan persetujuan bersama dan perundingan, untuk menyusukan, maka tidaklah ada kesalahan ke atas mereka.

Dan jika kamu berkehendak untuk mencari penyusu bagi anak-anak kamu, tidaklah bersalah ke atas kamu asal sahaja kamu menyerahkan apa yang kamu beri dengan baik; dan takutilah Allah, dan ketahuilah bahawa Allah melihat apa yang kamu buat" (2:233).

Suatu yang menarik mengenai ayat tersebut ialah ia berkontekskan penceraian. Sehingga dalam krisis begini pun Allah menyuruh supaya berunding dengan baik antara (bekas) suami dan isteri! Atau, dalam keadaan marah dan benci, yang boleh mengakibatkan perceraian, juga disuruh-Nya bergaul dengan baik. Mungkin apa yang dibenci itu adalah suatu yang baik.

Firman-Nya, "Bergaullah dengan mereka dengan baik; atau jika kamu membenci mereka, mungkin kamu membenci sesuatu padahal Allah membuatkan padanya banyak kebaikan" (4:19).

No comments: