Monday, May 17, 2010

Bercampur a.k.a Pergaulan

Kenikmatan hidup sepasang suami-isteri memuncak apabila mereka bercampur dengan baik. Masing-masing adalah pakaian bagi satu sama lain. Pakaian ini juga dipakai pada malam bulan Ramadan. Firman-Nya, "Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka" (2:187).

Digambarkan lagi kenikmatan ini dengan firman-Nya yang berbunyi, "Perempuan-perempuan kamu adalah tanaman bagi kamu; maka datangilah tanaman kamu seperti yang kamu mengkehendaki" (2:223).

Namun, percampuran ini ada hadnya. Malah, ia diharamkan pada beberapa keadaan yang tertentu. Keadaan-keadaan itu adalah:

1. apabila bertekun di masjid, seperti pada malam bulan Ramadan. Firman-Nya, "dan janganlah mencampuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid" (2:187),

2. dalam Haji. Firman-Nya, "sesiapa yang menetapkan untuk Haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya" (2:197),

3. semasa dalam haid. Firman-Nya, "maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan janganlah mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka telah membersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah memerintahkan kamu" (2:222).

Tidak terdapat larangan lain bagi perempuan yang dalam haid di dalam al-Qur'an; tidak disebut-Nya mengenai larangan mendirikan solat, berpuasa, atau menyentuh dan membaca al-Qur’an.

4. memantangkan diri selama empat bulan. Selepas tempoh ini percampuran diharamkan, dan mereka dianggap seperti bercerai. Firman-Nya, "Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka menunggu empat bulan.

Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui." (2:226-227), dan akhirnya,

5. menzihar isteri (berkata kepada isteri, "Kamu, padaku, adalah seperti punggung ibuku"), dan tidak pula mengadakan tebusan apabila ditarik balik apa yang telah dikatakan. Percampuran diharamkan dalam situasi seperti ini.

Firman-Nya, "Dan orang-orang yang menzihar isteri-isteri mereka, kemudian mereka menarik kembali apa yang mereka telah mengatakan, mereka akan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya menyentuh satu sama lain ... Tetapi sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dan jika sesiapa yang tidak boleh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin" (58:3-4).

No comments: