Monday, May 17, 2010

Zina & Segala-galanya Tentang Zina

Amalan zina adalah bukan sahaja dilarang, malah, ia dilarang daripada mendekatinya jua. Firman-Nya, "Dan janganlah mendekati zina; sesungguhnya ia satu kesumbangan, dan jalan yang jahat" (17:32). Lupakanlah sahaja keinginan untuk melakukan zina!

Amalan sumbang dan jahat ini bukan suatu fenomena yang baharu dalam masyarakat. Pengamalannya yang meluas adalah sejak dari zaman dahulu lagi, seperti pada zaman Nabi Yahya dan Mariam (ibu Nabi Isa), iaitu kira-kira dua ribu tahun dahulu. Andaian dibuat setelah mendapati Allah menyebut dengan jelas kepada bapa Nabi Yahya (Zakaria) bahawa anaknya yang bakal dilahirkan adalah seorang yang suci daripada kejahatan nafsu berahi (3:39), sementara Mariam pula, disebut sebagai seorang perempuan yang menjaga kemaluannya (21:91 dan 66:12). Mereka berdua tentu telah menjadi contoh teladan yang terbaik pada zaman itu.

Zina bukanlah amalan orang-orang lelaki dan perempuan yang mukmin (yang mempercayai Allah dan Kitab-Nya), kerana mereka diperintah supaya menjaga kemaluan mereka. Firman-Nya, "Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka" (24:30). Pandangan yang tidak dikawal dan kemaluan yang tidak dijaga adalah punca berlakunya perzinaan.

No comments: