Monday, May 17, 2010

Yang Luar Biasa

Al-Qur'an ada juga menyebut mengenai beberapa cara bercerai yang saya anggap luar biasa. Sememangnya ia, seperti kata-Nya, adalah sebuah kitab yang cukup jelas, atau terperinci, apabila ia turut menyebut tentang segala kemungkinan, seperti apa yang mungkin berlaku, bagi sesuatu perkara.

Bagi penceraian, disebut-Nya empat, iaitu:

1. Memantangkan diri daripada menyentuh pasangan: Ini mungkin berlaku dalam keadaan marah dan benci pada pasangan. Sekiranya sumpah itu berpanjangan, iaitu lebih daripada empat bulan, maka pasangan suami-isteri itu adalah seperti dalam keadaan bercerai. Firman-Nya, "Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka menunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui" (2:226-227). Pasangan bercerai setelah berpantang empat bulan.

2. Belum sentuh: Bagi yang mungkin bercerai tanpa menyentuh pasangannya, Allah menurunkan tiga ayat yang menggariskan syarat-syaratnya.

i. "Tidak ada kesalahan ke atas kamu jika kamu menceraikan perempuan-perempuan sedang kamu belum menyentuh mereka, dan tidak juga menetapkan sebarang bahagian untuk mereka; namun demikian, buatlah peruntukan untuk mereka - orang yang mewah menurut kemampuannya, dan orang yang miskin menurut kemampuannya - satu peruntukan dengan baik; satu kewajipan bagi orang-orang yang berbuat baik" (2:236),

ii. "Dan jika kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, dan kamu telah pun menetapkan bagi mereka bahagian yang ditentukan, maka berilah setengah daripada apa yang kamu telah menetapkan, kecuali jika mereka memaafkan, atau dia memaafkan yang di tangannya ikatan perkahwinan; bahawa kamu memaafkan adalah lebih dekat dengan takwa. Janganlah melupakan pemberian sesama kamu. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu buat" (2:237), dan akhirnya,

iii. "... apabila kamu mengahwini perempuan-perempuan yang mukmin, dan kemudian menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, tiadalah tempoh (idah) bagi kamu untuk mengira terhadap mereka; maka buatlah peruntukan bagi mereka, dan lepaskanlah mereka dengan pelepasan yang manis" (33:49).

3. Zihar:
Seperti yang telah dimaklumkan, di bawah tajuk Bercampur, menzihar isteri bermaksud menyifatkan isteri sebagai punggung ibunya (suami) sendiri.

Pada hemat saya, bahagian anggota yang disebut itu adalah suatu petunjuk bagi bahagian-bahagian sulit ibu yang lain, yang juga tidak boleh disamakan dengan isteri, atau suami. Kata-kata ini hendaklah ditarik balik.

Sekiranya kata-kata itu ditarik balik, maka Allah mengadakan tebusan sebelum pasangan itu menyentuh satu sama lain.

Tebusannya ialah memerdekakan seorang hamba, atau sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka dia berpuasa dua bulan berturut-turut, atau memberi makan enam puluh orang miskin (58:3-4).

Pasangan ini berada dalam keadaan bercerai sekiranya kata-kata itu tidak ditarik balik, atau tebusannya tidak dilakukan.

4. Isteri lari:
Dengan cara automatik, apabila isteri lari kepada orang-orang yang tidak percaya (kafir kepada Allah dan Kitab-Nya), maka gugurlah "talak satu". Firman-Nya, "Dan jika seseorang daripada isteri-isteri kamu lari daripada kamu kepada orang-orang yang tidak percaya, dan kemudian kamu membalas, maka berilah orang-orang yang isteri-isteri mereka telah pergi, yang serupa dengan apa yang mereka telah menafkahkan. Dan takutilah Allah, yang kepada-Nya kamu mukmin (mempercayai)" (60:11).

Dalam kes ini, tersebut mengenai bayaran balik kepada bekas suami atas apa yang dia telah menafkahkan (membelanjakan) kepada isterinya.

Kematian

Perpisahan yang paling menyedihkan, atau tahap stress yang tertinggi sekali, ialah apabila teman hidup meninggal dunia. Berpisahlah pasangan suami-isteri itu buat sementara waktu, menunggu Akhirat, di mana mereka akan bersatu semula selama-lamanya. Isteri yang kematian suaminya ditinggalkan peruntukan untuk setahun, dan peruntukan ini ditulis di dalam wasiat suami.

Perintah Allah mengenai ini berbunyi,
"Dan orang-orang di antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka membuat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidaklah bersalah ke atas kamu mengenai apa yang mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik" (2:240).

No comments: