Monday, May 17, 2010

Perkahwinan

Perasaan cinta dan pengasihan antara lelaki dan perempuan, yang dikurniakan Allah, berjaya memujuk kebanyakan mereka untuk hidup bersama, dan bersatu, dalam ikatan perkahwinan. Perkahwinan yang disuruh Allah telah menjadi sunnah semua Rasul (13:38), termasuk Nabi Isa.

Lalu kaum wanita menjadi isteri-isteri. Isteri dicari dengan menggunakan harta. Mereka dicari bukan untuk perzinaan, tetapi untuk diikat dalam ikatan perkahwinan. Firman-Nya, "Dihalalkan bagi kamu .... adalah bahawa kamu mencari, dengan menggunakan harta kamu, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan ..." (4:24).

Manakala bagi lelaki yang tidak berharta tetapi ingin mengahwini perempuan mukmin yang merdeka, mereka akan mengahwini hamba yang mukmin, atau mereka bersabar. Firman-Nya, "Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemewahan untuk membolehkan mengahwini wanita-wanita merdeka yang mukmin, maka dia mengambil pemudi kamu yang mukmin yang tangan kanan kamu memiliki .... dan lebih baik bagi kamu jika kamu bersabar" (4:25).

Isteri menjadi teman hidup dan tempat berehat bagi suami. Firman-Nya, "Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia menciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, teman-teman hidup (isteri), supaya kamu berehat pada mereka" (30:21).

Keselesaan, kemesraan, dan kepuasan yang dinikmati bersama antara suami dan isteri dirakamkan lagi di dalam al-Qur’an dengan sebuah ayat yang berbunyi, "Mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka" (2:187).

Selain daripada dapat menjauhkan kaum wanita dari kancah perzinaan, perkahwinan juga melepaskan mereka daripada dijadikan teman rahsia (secret lover). Kata “teman rahsia” terbit dua kali di dalam al-Qur'an, iaitu pada ayat 4:25 dan 5:5. Allah melarang menyimpan teman rahsia.

No comments: