Monday, May 17, 2010

Dituduh

Tersebut juga di dalam al-Qur’an mengenai wanita-wanita yang sudah berkahwin, lagi baik, atau yang mukmin, tetapi kerana kelalaian mereka, mereka dituduh yang bukan-bukan dan menjadi bahan tomahan orang lain. Orang-orang yang melakukan kejahatan terhadap wanita-wanita tersebut dilaknati di dunia dan di akhirat.

Firman-Nya, "Sesungguhnya orang-orang yang membalingkannya (menuduh) kepada wanita-wanita yang berkahwin, yang lalai, tetapi mukmin, akan dilaknati di dunia dan di akhirat; dan bagi mereka, azab yang besar” (24:23).

Amaran daripada Allah yang seterusnya mengenai perbuatan memburuk-burukkan wanita yang baik berbunyi, “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, tanpa apa yang mereka mengusahakan, mereka memikul pengumpatan dan dosa yang nyata” (33:58). Begitulah kedudukan orang-orang yang baik di sisi Allah.

Ciri-Ciri Wanita Yang Baik

Sememangnyalah, orang-orang yang takut kepada Allah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi orang-orang yang salih, atau orang-orang yang baik.

Mengenai wanita-wanita yang disifatkan baik, Allah telah menjelaskannya dengan ayat berbunyi,

"Wanita-wanita yang salih (baik) ialah yang patuh, yang menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya" (4:34).

Allah seterusnya menyebut di dalam al-Qur'an mengenai sifat-sifat wanita yang baik,

>>yang antaranya, adalah yang muslim, mukmin, benar, sabar, merendah hati, bersedekah, berpuasa, mengingat Allah dengan banyak, menyuruh yang baik, melarang yang mungkar, melakukan solat, memberi zakat, atau yang membuat kerja-kerja kebaikan. <<

Wanita-wanita ini tentu menemui kebahagian.

Yang Luar Biasa

Al-Qur'an ada juga menyebut mengenai beberapa cara bercerai yang saya anggap luar biasa. Sememangnya ia, seperti kata-Nya, adalah sebuah kitab yang cukup jelas, atau terperinci, apabila ia turut menyebut tentang segala kemungkinan, seperti apa yang mungkin berlaku, bagi sesuatu perkara.

Bagi penceraian, disebut-Nya empat, iaitu:

1. Memantangkan diri daripada menyentuh pasangan: Ini mungkin berlaku dalam keadaan marah dan benci pada pasangan. Sekiranya sumpah itu berpanjangan, iaitu lebih daripada empat bulan, maka pasangan suami-isteri itu adalah seperti dalam keadaan bercerai. Firman-Nya, "Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka menunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui" (2:226-227). Pasangan bercerai setelah berpantang empat bulan.

2. Belum sentuh: Bagi yang mungkin bercerai tanpa menyentuh pasangannya, Allah menurunkan tiga ayat yang menggariskan syarat-syaratnya.

i. "Tidak ada kesalahan ke atas kamu jika kamu menceraikan perempuan-perempuan sedang kamu belum menyentuh mereka, dan tidak juga menetapkan sebarang bahagian untuk mereka; namun demikian, buatlah peruntukan untuk mereka - orang yang mewah menurut kemampuannya, dan orang yang miskin menurut kemampuannya - satu peruntukan dengan baik; satu kewajipan bagi orang-orang yang berbuat baik" (2:236),

ii. "Dan jika kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, dan kamu telah pun menetapkan bagi mereka bahagian yang ditentukan, maka berilah setengah daripada apa yang kamu telah menetapkan, kecuali jika mereka memaafkan, atau dia memaafkan yang di tangannya ikatan perkahwinan; bahawa kamu memaafkan adalah lebih dekat dengan takwa. Janganlah melupakan pemberian sesama kamu. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu buat" (2:237), dan akhirnya,

iii. "... apabila kamu mengahwini perempuan-perempuan yang mukmin, dan kemudian menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, tiadalah tempoh (idah) bagi kamu untuk mengira terhadap mereka; maka buatlah peruntukan bagi mereka, dan lepaskanlah mereka dengan pelepasan yang manis" (33:49).

3. Zihar:
Seperti yang telah dimaklumkan, di bawah tajuk Bercampur, menzihar isteri bermaksud menyifatkan isteri sebagai punggung ibunya (suami) sendiri.

Pada hemat saya, bahagian anggota yang disebut itu adalah suatu petunjuk bagi bahagian-bahagian sulit ibu yang lain, yang juga tidak boleh disamakan dengan isteri, atau suami. Kata-kata ini hendaklah ditarik balik.

Sekiranya kata-kata itu ditarik balik, maka Allah mengadakan tebusan sebelum pasangan itu menyentuh satu sama lain.

Tebusannya ialah memerdekakan seorang hamba, atau sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka dia berpuasa dua bulan berturut-turut, atau memberi makan enam puluh orang miskin (58:3-4).

Pasangan ini berada dalam keadaan bercerai sekiranya kata-kata itu tidak ditarik balik, atau tebusannya tidak dilakukan.

4. Isteri lari:
Dengan cara automatik, apabila isteri lari kepada orang-orang yang tidak percaya (kafir kepada Allah dan Kitab-Nya), maka gugurlah "talak satu". Firman-Nya, "Dan jika seseorang daripada isteri-isteri kamu lari daripada kamu kepada orang-orang yang tidak percaya, dan kemudian kamu membalas, maka berilah orang-orang yang isteri-isteri mereka telah pergi, yang serupa dengan apa yang mereka telah menafkahkan. Dan takutilah Allah, yang kepada-Nya kamu mukmin (mempercayai)" (60:11).

Dalam kes ini, tersebut mengenai bayaran balik kepada bekas suami atas apa yang dia telah menafkahkan (membelanjakan) kepada isterinya.

Kematian

Perpisahan yang paling menyedihkan, atau tahap stress yang tertinggi sekali, ialah apabila teman hidup meninggal dunia. Berpisahlah pasangan suami-isteri itu buat sementara waktu, menunggu Akhirat, di mana mereka akan bersatu semula selama-lamanya. Isteri yang kematian suaminya ditinggalkan peruntukan untuk setahun, dan peruntukan ini ditulis di dalam wasiat suami.

Perintah Allah mengenai ini berbunyi,
"Dan orang-orang di antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka membuat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidaklah bersalah ke atas kamu mengenai apa yang mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik" (2:240).

Peruntukan

Peruntukan Wanita-wanita yang diceraikan diberi peruntukan, tempat tinggal, dan nafkah, sementara harta yang telah diberi kepada mereka tidak diambil balik. Dan mereka tidak ditekan untuk menyusahkan mereka. Ayat-ayat Allah yang berikut menjelaskannya:

1. "Tidak halal bagi kamu untuk mengambil daripada apa yang kamu telah memberikan mereka (isteri) kecuali keduanya takut bahawa mereka tidak dapat melakukan had-had Allah. Jika kamu takut mereka tidak dapat melakukan had-had Allah, maka tidaklah bersalah ke atas mereka untuk dia (isteri) menebus dengannya. Itulah had-had Allah; janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim" (2:229).

Terdapat satu lagi ayat mengenai larangan mengambil balik harta yang telah diberi kepada isteri yang diceraikan, dan ayat itu berakhir dengan satu pertanyaan berbunyi, "Apa, adakah kamu mengambilnya dengan cara umpat, dan dosa yang nyata?" (4:20).

2. "Bagi wanita-wanita yang diceraikan, diberi peruntukan dengan baik sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa" (2:241).

3. "Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal, menurut kemampuan kamu, dan janganlah menekan mereka untuk menyempitkan keadaan mereka. Jika mereka mempunyai kandungan, nafkahkanlah mereka sehingga mereka melahirkan kandungan mereka. Jika mereka menyusukan untuk kamu, berilah mereka upah mereka, dan bermuafakatlah di antara kamu dengan baik. Jika kamu berdua menemui kesukaran, maka perempuan yang lain akan menyusukannya" (65:6).

Ayat tersebut disusuli sebuah ayat yang menjelaskan mengenai nafkah, iaitu diberi mengikut kemampuan masing-masing, dan dalam apa keadaan jua pun, sama ada senang atau susah. Ia berbunyi,

"Hendaklah orang yang mempunyai keluasan menafkahkan menurut keluasannya. Bagi orang yang rezekinya disempitkan kepadanya, maka hendaklah dia menafkahkan daripada apa yang Allah memberinya. Allah tidak membebani sesuatu jiwa melainkan dengan apa yang Dia memberikannya. Sungguh, Allah akan membuatkan, setelah kesukaran, yang mudah" (65:7).

'Idah

Dalam penceraian ada tempoh, atau idah (masa menanti). Syarat-syarat dalam idah telah dihuraikan Allah dengan empat ayat yang berikut:

1. "Perempuan-perempuan yang diceraikan akan menunggu sendiri selama tiga haid, dan tidaklah halal bagi mereka untuk menyembunyikan apa yang Allah menciptakan di dalam rahim mereka jika mereka mempercayai Allah dan Hari Akhir. Pada masa itu suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk mengembalikan mereka jika mereka menghendaki untuk memperbetulkan" (2:228),

2. "Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, dan mereka sampai tempoh mereka, maka tahanlah mereka dengan baik, atau lepaskanlah mereka dengan baik; janganlah menahan mereka dengan paksa untuk mencabuli; sesiapa yang berbuat demikian itu menzalimi dirinya sendiri. Janganlah mengambil ayat-ayat Allah dalam olok-olokan" (2:231),

3. "Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, lalu mereka sampai tempoh mereka, janganlah menghalangi mereka daripada mengahwini suami-suami mereka, apabila mereka telah saling mempersetujui di antara mereka, dengan baik. Dengan ini ditegurkan sesiapa di antara kamu yang mempercayai Allah, dan Hari Akhir. Itu lebih suci dan lebih bersih bagi kamu; Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui" (2:232),

Saksi

4. "Kemudian, apabila mereka telah sampai tempoh mereka, tahanlah mereka dengan baik, atau berpisahlah daripada mereka dengan baik. Dan adakanlah saksi, dua orang yang mempunyai keadilan di kalangan kamu; dan lakukanlah kesaksian kepada Allah Sendiri. Dengan ini ditegurkan sesiapa yang mempercayai Allah dan Hari Akhir. Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia membuatkan untuknya satu jalan keluar" (65:2).

Nabi sendiri mungkin telah menceraikan isteri-isterinya, dan beliau juga disuruh Allah agar menjagai tempoh dan syarat-syaratnya. Firman-Nya, "Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikanlah mereka apabila mereka sampai tempoh mereka. Hitunglah tempoh itu, dan takutilah Allah, Pemelihara kamu. Janganlah mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga membiarkan mereka keluar, kecuali mereka melakukan kesumbangan yang nyata. Itulah hudud (had-had) Allah; sesiapa mencabuli hudud Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui mungkin setelah itu Allah mengadakan perkara yang baru" (65:1).

Namun, tempoh bagi perempuan yang putus haid, dan perempuan yang mengandung, adalah berbeza daripada perempuan lain. Firman-Nya, "Bagi perempuan-perempuan kamu yang berputus asa daripada haid selanjutnya, jika kamu ragu-ragu, maka tempoh mereka ialah tiga bulan, dan mereka yang tidak datang haid hingga kini. Dan mereka yang hamil, tempoh mereka ialah apabila mereka melahirkan kandungan mereka. Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan membuatkan untuknya, daripada perintah-Nya, yang mudah" (65:4).

Sementara idah bagi wanita-wanita yang kematian suami ditetapkan Allah lebih lama daripada yang dikenakan ke atas wanita-wanita yang diceraikan. Firman-Nya, "Dan orang-orang di antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, mereka akan menunggu sendiri selama empat bulan dan sepuluh hari" (2:234).

Penceraian

Penceraian Istilah talak satu, seperti yang lazim digunakan, sebenarnya bermaksud sekali cerai, kerana kata talak dalam bahasa Arab bermakna penceraian. Maka, dua kali bercerai dengan pasangan yang sama adalah talak dua. Oleh itu, lafaz talak tiga pada penceraian yang pertama adalah hanya karut.

Apabila perceraian tidak dapat dielakkan lagi, maka Allah akan memberi pertolongan kepada kedua-dua pihak.

Firman-Nya, "Tetapi jika keduanya bercerai, Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing daripada keluasan-Nya" (4:130).

Allah memahami. Allah amat memahami penderitaan yang dialami, lalu direstui-Nya perceraian. Kemudian, Dia didapati pula menolong kedua-dua belah pihak.

Akan tetapi, bagaimana pula dengan banyaknya kes-kes cerai yang tidak diceraikan, atau digantung sekian lama? Tidakkah difahami penderitaan yang dilalui? Tidakkah kedua-dua belah pihak perlu ditolong? Tidak, sebaliknya ada pula orang yang melafazkan cerai didenda seribu ringgit!

Penceraian yang dibenarkan adalah sebanyak dua kali. Firman-Nya, "Penceraian (talak) adalah dua kali; kemudian menahan dengan baik, atau melepaskan dengan baik ... Jika dia menceraikannya, dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia berkahwin suami yang lain. Kemudian jika dia (suami baru) menceraikannya, maka tidaklah bersalah ke atas mereka untuk kembali kepada satu sama lain, jika mereka menyangka bahawa mereka akan melakukan had-had Allah" (2:229-230). Ini kes "cina buta".

Pendamai

Pertelingkahan suami-isteri didamaikan oleh wakil kedua-dua buah pihak sebelum berlaku perceraian. Firman-Nya, "Jika kamu takut akan perpecahan antara keduanya, bangkitkanlah seorang pendamai daripada keluarga lelaki, dan daripada keluarga perempuan, seorang pendamai. Jika mereka menghendaki untuk memperbetulkan, Allah akan menyelesaikan pertelingkahan mereka" (4:35).

Dewasa ini, para peguamlah pendamai yang dianggap paling adil. Sekiranya cara yang Allah tunjukkan diguna oleh pihak-pihak tertentu, maka wanita-wanita Islam yang dizalimi suami-suami mereka dapat dilepaskan daripada kezaliman itu dengan tanpa menunggu lama dalam penderitaan.

Nabi

Nabi juga telah mengalami krisis rumah tangga. Krisis itu, menurut al-Qur'an (66:3), berpunca dari salah seorang daripada isteri-isterinya yang membawa mulut, setelah Nabi memberitahunya sesuatu rahsia. Kemudian, dua daripada isteri-isterinya bergabung untuk menentangnya.

Lantaran Allah turunkan amaran kepada mereka, dan sebahagian daripadanya berbunyi, "Mungkin, jika dia (Nabi) menceraikan kamu, Pemeliharanya (Tuhannya) akan menukarkan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang muslim, yang mukmin, yang patuh, yang bertaubat, yang warak, yang berpergian, yang janda, dan yang dara" (66:5). Dalam krisis seperti ini jua diingatkan-Nya tentang perceraian. Diingatkan-Nya jua tentang adanya wanita-wanita lain yang lebih baik daripada isteri-isteri Nabi.